MELAKA TENGAH, 6 Jun - Remaja lelaki berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu selepas keluar mencari lembu di Kampung Permatang Pasir Permai, ditemui selamat awal pagi tadi.
Muhamad Aidil Ashraf Mohd Fazli ditemui lemah dan terbaring di bawah pokok pada jam 2.08 pagi di kawasan semak berdekatan Pos Kawalan Bomba.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka dalam satu kenyataan menjelaskan, pelajar sekolah itu ditemui penduduk kampung dan pasukan bomba selepas terdengar suara mangsa mengerang.
Mangsa kini dirawat di Hospital Melaka dan dalam keadaan stabil.
Seramai 42 anggota JBPM termasuk Polis dan Angkatan Pertahanan Awam serta tiga ekor anjing unit pengesan K9 terlibat sepanjang operasi pencarian itu.
Operasi mencari dan menyelamat dihentikan jam 3.25 pagi tadi.
Sebelum ini media melaporkan, remaja kurang upaya lemah pembelajaran itu dikhuatiri tersesat di dalam hutan ketika keluar mencari lembu yang hilang, sejak pukul 6.30 petang Rabu.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan pada hari sama oleh JBPM Melaka serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan panggilan kecemasan dan laporan polis yang dibuat ibu mangsa, Siti Norehan Azhar pada pukul 11.54 malam.
Misi pencarian tiga hari itu turut disertai penduduk kampung.