KUALA LUMPUR, 6 Jun – PLUS Malaysia Berhad telah mengaktifkan Smart Lane di 30 lokasi strategik bagi mengurangkan kesesakan, terutama di laluan-laluan utama yang mencatat aliran trafik tinggi ketika musim cuti perayaan Aidiladha ini.
Lokasi Smart Lane ini melibatkan tiga zon iaitu Wilayah Utara (3 lokasi), Wilayah Tengah (17 lokasi) dan Wilayah Selatan (10 lokasi) merangkumi lebuhraya PLUS dari Kedah hingga Johor.
Menurut Pengurus Besar Kanan Operasi, Mohd Yusuf Abdul Aziz, lonjakan trafik sudah mula dikesan sejak minggu lalu, seiring dengan permulaan cuti sekolah pada 29 Mei.
“Setiap lokasi Smartlane ditandakan dengan papan tanda dan lampu isyarat berkelip. Jika lampu berkelip hijau, itu bermakna lorong tersebut sedang beroperasi dan boleh digunakan,” jelas Mohd Yusuf.
Bercakap ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program bual bicara Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri beliau berkata, jumlah kenderaan telah pun mencecah lebih dua juta semalam di Lebuhraya PLUS dan dijangka akan terus meningkat esok.
Namun, di sebelah pagi tadi, aliran trafik mula beransur reda tetapi dijangka kembali sesak petang ini.
“Data pemantauan kami menunjukkan peningkatan trafik secara berterusan, dan semalam jumlah kenderaan melepasi angka dua juta. Kami jangkakan peningkatan trafik yang ketara ke arah utara dan selatan, terutamanya selepas waktu pejabat petang ini." katanya
Dalam pada itu beliau turut menegaskan, Smart Lane bukanlah lorong memotong, sebaliknya ia hanya dibuka untuk menambah kapasiti lebuhraya ketika waktu-waktu puncak untuk menyuraikan kesesakan trafik.
Justeru, pengguna dinasihatkan agar menggunakannya secara berhemah serta patuhi had laju yang ditetapkan di bawah 60 km/j.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pengaktifan lorong dan keadaan trafik semasa menerusi aplikasi PLUS serta media sosial rasmi syarikat itu.
PLUS turut menempatkan pasukan PLUSRonda dan polis bantuan 24 jam sehari, selain bekerjasama dengan agensi lain seperti polis, bomba dan RELA di kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan pengguna.##