PETALING JAYA, 18 Ogos – Kerajaan memberi jaminan akan terus memperkukuh sektor pembuatan sebagai teras utama pembangunan ekonomi negara, sekali gus memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat serantau dan global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan penghargaan atas sumbangan kepimpinan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dalam pembangunan industri negara.
"Kepada kepimpinan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), para ahli serta rakan kongsi, terima kasih atas komitmen berterusan anda terhadap sektor ini dan juga ekonomi negara secara keseluruhan.
"Malam ini bukan sekadar meraikan pencapaian, tetapi juga pengiktirafan terhadap daya ketahanan serta sumbangan industri pembuatan Malaysia, khususnya ketika kita berdepan perubahan ekonomi, penyahindustrian dan ketidaktentuan pasaran global," katanya dalam ucaptama menerusi video pada Majlis Makan Malam Tahunan ke-57 (FMM) 2025 di sini.
Langkah memperkukuh sektor pembuatan turut dipacu melalui pelaksanaan dasar-dasar baharu seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Dasar Pelaburan Baharu (NIP), Kerangka Ekonomi MADANI serta Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menekankan transformasi industri ke arah lebih mampan, inovatif dan berdaya tahan.
Selain disokong dengan penyusunan semula ekosistem rantaian bekalan dan penekanan terhadap pelaburan bernilai tinggi, seiring aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan strategik di rantau ASEAN.
Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini berada pada kedudukan strategik untuk memacu integrasi ekonomi, meningkatkan kesalinghubungan serantau serta menyelaras standard peraturan yang lebih baik agar Malaysia menjadi pusat pembuatan yang tidak dapat diketepikan di Asia Tenggara.
"Kita mahu Malaysia diiktiraf sebagai hab serantau yang berteraskan kepercayaan, bakat dan transformasi sebuah destinasi di mana perniagaan dapat beroperasi dengan cekap, berkembang secara bertanggungjawab dan berinovasi secara berterusan.
"Izinkan saya tegaskan bahawa pembuatan bukanlah sektor masa lalu, sebaliknya ia merupakan sektor masa depan. Inilah asas yang akan membina kekuatan ekonomi dan ketahanan negara kita, "katanya.
Tambah Perdana Menteri, pelaburan dalam teknologi canggih seperti automasi dan kecerdasan buatan, pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta pemodenan infrastruktur akan terus menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan sektor pembuatan kekal berdaya saing, mampan dan bernilai tambah.
Dengan komitmen berterusan kerajaan dan kerjasama erat bersama industri, Malaysia diyakini mampu memperkukuh daya tahan ekonomi, melonjakkan daya saing global serta mencorakkan masa depan sektor pembuatan negara yang lebih kukuh, inklusif dan bersepadu.