fb fb fb fb fb

Kemalangan penuntut IKBN : MPV berhenti di lorong kecemasan untuk tukar pemandu

Kereta MPV berhenti di laluan kecemasan - Foto orang awam

ALOR SETAR, 6 Jun - Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra yang terlibat kemalangan meragut nyawa tiga pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra di Kilometer 49.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, semalam dipercayai memberhentikan kenderaan di laluan kecemasan untuk menukar pemandu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP  Siti Nor Salawati Saad menerusi kenyataan berkata, buat masa ini pemandu berusia 46 tahun itu masih ditahan dan akan dibebaskan dengan jaminan polis setelah selesai memberi keterangan.

Polis menahan pemandu lelaki terbabit untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketika kejadian, kedua-dua motosikal yang dinaiki kesemua mangsa sedang menunggang di lorong kecemasan apabila salah satu motosikal hilang kawalan disebabkan MPV tersebut berhenti, lalu melanggar bahagian belakang kereta itu.

Sementara itu, jenazah tiga pelajar berkenaan selamat dikebumikan di kampung halaman masing-masing lewat malam tadi.

Jenazah mereka dituntut oleh waris setelah selesai urusan bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Jenazah pertama, Muhammad Afif Affan Derani, 19, dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Al Ubudiyah Kampung Batu Belacan Bukit Selambau, manakala jenazah kedua Muhammad Habil Mohd Sobri, 19, dikebumikan di kampungnya di Lubuk Reba, Padang Lembu, Gurun.

Jenazah ketiga Muhammad Fahmi Jamel, 20, pula dikebumikan di Kampung Berona Kanan Jeniang, Sik.

Mangsa yang selamat dalam kemalangan itu, Muhammad Adib Aiman Mohamad Hasan, 19, yang berasal dari Subang Jaya, Selangor masih dirawat di Zon Kuning HSB akibat kecederaan pada kaki.

Semalam, tiga pelajar semester 2 jurusan Teknologi Kimpalan IKBN Jitra maut dalam kemalangan antara motosikal ditunggang mereka dan sebuah MPV kira-kira pukul 2.10 petang.

Kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan untuk pulang bercuti sempena Aidiladha.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM