fb fb fb fb fb

54 kes ceroboh tanah rizab, kerajaan tegas tangani isu RIBI dan Jalur Gemilang

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Ogos- Sebanyak 54 kes dikenal pasti kerana mendiami tanah rizab kerajaan atau tanah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, termasuk 25 kes yang tidak berdaftar, setakat 31 Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata isu berkaitan tanah untuk kuil dan rumah ibadat bukan Islam (RIBI) sedang ditangani melalui Jawatankuasa RIBI dengan kerjasama Malaysia Hindu Sangam (MHAS).

"Perkara ini sedang ditangani melalui Jawatankuasa RIBI dengan kerjasama Malaysia Hindu Sangam (MHAS) sebagai pemudah cara manakala pemantauan akan diteruskan oleh JWP bagi memastikan penyelesaian yang lebih teratur," kata Datuk Seri Dr. Zaliha di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau turut mengulas lanjut berhubung isu Jalur Gemilang yang dipasang atau mengibarkan bendera secara terbalik, pihaknya memandang serius isu berkenaan memandangkan ia simbol maruah serta indentiti negara.

Justeru, beliau menasihatkan premis perniagaan dan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memasang atau mengibarkan bendera mengikut garis panduan ditetapkan.

“Kawalan penggunaan dan penyebaran Jalur Gemilang adalah tertakluk kepada beberapa undang-undang sedia ada, termasuk Akta Lambang dan Nama 1963 (Akta 414), Akta Lambang Kebangsaan 1949 (Akta 193) dan juga Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

Ketiga-tiga akta ini memperuntukkan larangan penggunaan yang tidak wajar serta hukuman setimpal bagi kesalahan yang berkaitan, terutamanya Seksyen 11 Akta 15 yang membenarkan pegawai polis berpangkat Inspektor ke atas membuat tangkapan tanpa waran sekiranya terdapat kesalahan. Tindakan tambahan boleh diambil di bawah peruntukan undang-undang lain mengikut budi bicara Timbalan Pendakwa Raya," tambahnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM