KUALA LUMPUR, 18 Ogos - 'Haruskah seorang lagi remaja atau belia mati dengan derita sebelum kita berkata cukup?'
Demikian persoalan tegas Raja Permaisuri Agong yang mahu agar isu keselamatan di sekolah diberikan perhatian serius.
Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menegaskan sekolah sepatutnya jadi tempat selamat, bukan mimpi ngeri akibat budaya buli yang berleluasa.
"Sudah bertahun-tahun, berita tentang insiden buli dan kesannya yang tragis amat meruntun hati kita semua.
"Pada tahun 2017, Zulfarhan Osman Zulkifli, seorang kadet tentera laut, meninggal dunia akibat kesan melecur di tubuhnya.
"Pada tahun yang sama, T. Nhaveen dari Georgetown, meninggal dunia akibat pendarahan dalaman di kepalanya. Kedua-duanya adalah mangsa buli," titah baginda menerusi artikel yang diterbitkan di zarithidris.com.
Baginda turut menzahirkan rasa dukacita apabila ada pelajar yang memilih untuk berdiam diri kerana bimbang rakan-rakan mereka menjadi sasaran pembuli sekiranya perkara itu dilaporkan.
“Buli di sekolah telah menjadi satu budaya yang amat buruk di Malaysia. Ada di antara kalangan mangsa buli yang bernasib baik boleh memilih untuk berpindah sekolah, namun bagi yang tidak mempunyai pilihan itu, mereka terpaksa kekal dan menanggung apa jua penderitaan yang dialami.
"Perbualan bersama keluarga dan sahabat handai sudah cukup membuktikan bahawa ia sebenarnya berlaku lebih kerap daripada yang disangka. Ianya benar dan ia berleluasa.
"Adakah kita mengabaikan perkara ini hanya kerana ia tidak berlaku kepada anak kita sendiri? Haruskah seorang lagi remaja atau belia mati dengan derita sebelum kita berkata cukup?
"Berapa ramai lagi ibu bapa dan keluarga harus menanggung derita dan pilunya kehilangan insan tersayang? Jika kita benar-benar ingin dikenali sebagai sebuah masyarakat “penyayang”, maka sudah tiba masanya kita menjawab soalan-soalan ini," kongsi baginda.
Raja Permaisuri Agong menegaskan bahawa ibu bapa tidak seharusnya dihantui rasa bimbang terhadap keselamatan anak-anak ketika mereka berada di sekolah, sedangkan mereka sudah pun dibebani masalah lain dalam kehidupan seharian.
“Anak-anak, remaja, dan belia Malaysia tidak seharusnya merasa takut untuk ke sekolah atau universiti hanya kerana terpaksa berdepan seksaan rakan sebaya mereka.
"Setiap nyawa yang terkorban di tangan pembuli tidak boleh berakhir dengan sia-sia,” titah baginda.