JOHOR BAHRU, 6 Jun – Peniaga mikro di sekitar Bandar Baru Uda di sini menyifatkan pelaksanaan subsidi tong gas petroleum cecair (LPG) oleh kerajaan mampu mengurangkan kos operasi harian dan mengekalkan harga makanan pada kadar berpatutan.
Mereka turut berharap agar inisiatif itu diteruskan secara kekal demi kesejahteraan peniaga kecil, khususnya yang menjalankan perniagaan secara harian.
Seorang peniaga, Wan Fadhilah Tuan Man, berkata subsidi LPG amat membantu golongan peniaga kecil sepertinya yang berdepan kos gas memasak yang tinggi sebelum ini.
“Memang berharap kerajaan dapat teruskan subsidi gas mikro ni untuk peniaga-peniaga tepi jalan. Mahal sangat kalau guna gas biasa. Kalau boleh, lebih bagus kalau kerajaan kekalkan subsidi ni,” katanya.
Sementara itu, Daromi Rahman berkata inisiatif kerajaan ini tidak membebankan malah sangat dialu-alukan, selagi proses pelaksanaannya jelas dan teratur.
“Pada pendapat pak cik, tak ada masalah kalau kerajaan nak teruskan. Cuma kita harap ada maklumat jelas supaya peniaga kecil macam kami tahu cara nak dapatkan subsidi ni,” ujarnya.
Bagi Syed Muhammad Aiman Haziq, subsidi LPG memberikan impak besar terutama ketika menyertai acara atau karnival yang memerlukan penggunaan gas yang banyak.
“Memang patut diteruskan sebab kita berniaga. Kalau di gerai tetap, pakai tiga ke empat tong. Tapi kalau di luar, boleh guna sampai 10 tong. Subsidi ni banyak bantu kami,” katanya.
Garis panduan penggunaan gas LPG bersubsidi telah diperkenalkan sejak 2021, namun dikuatkuasakan menerusi Ops Gasak yang dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada bulan lalu.
Tindakan itu bertujuan membendung penyalahgunaan LPG bersubsidi, khususnya oleh premis industri dan perniagaan besar yang tidak layak menerima subsidi.
Restoran dan kafe diwajibkan menggunakan tong LPG 14kg gred komersial berharga RM70, dan bukan tong bersubsidi untuk isi rumah yang berharga RM26.
Peniaga yang menyimpan lebih 42kg (tiga tong) juga perlu memiliki permit barang kawalan berjadual.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penguatkuasaan itu penting bagi mengelakkan ketirisan subsidi serta membanteras kegiatan pemindahan gas bersubsidi ke tong tidak bersubsidi untuk dijual semula secara haram.