GENEVA, 6 Jun-Malaysia komited memastikan kesinambungan pendidikan pelajar tidak terjejas ketika berlakunya bencana, khususnya pada musim banjir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak RM135 juta telah diperuntuk bagi membina dewan kekal yang akan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan yang kerap terjejas.
Langkah ini juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan sekolah sebagai pusat pemindahan, seterusnya memastikan sesi pembelajaran tidak terganggu dan mengurangkan kos pembaikan kerosakan.
'Kerana kita rasakan bahawa di sekolah yang digunakan sebagai pusat pemindahan itu, tidak adil untuk sekolah yang selepas waktu banjir terpaksa membelanjakan satu jumlah yang besar bagi memperbaiki kerosakan dan mempertingkatkan semula penggunaan di sekolah-sekolah berkenaan, ' katanya selepas menghadiri Persidangan Platform Global untuk Pengurangan Risiko Bencana di Geneva, Switzerland.
Tambah beliau, kemudahan tersebut akan dilengkapi dengan tandas, ruang memasak serta keperluan asas lain bagi menjamin keselesaan mereka yang terkesan akibat bencana itu.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut memaklumkan, lebih 44 ribu sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan telah digerakkan untuk membantu pelajar serta penduduk terjejas banjir di pusat pemindahan yang beroperasi di sekolah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan kesiapsiagaan kerajaan menghadapi musim Monsun Barat Daya yang berpotensi membawa cuaca panas melampau serta risiko kebakaran.
Sebagai langkah berjaga-jaga, telaga tiub telah disediakan di kawasan berisiko dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah.