PETALING JAYA, 18 Ogos – Sebanyak RM250 juta peruntukan dipohon Kementerian Perpaduan Negara bagi Belanjawan 2026 bagi mendukung agenda pembinaan negara bangsa yang bersepadu, inklusif dan harmoni.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, lima inisiatif utama dirangka bagi menyokong agenda Perpaduan dan Identiti Nasional melibatkan peruntukan RM100 juta.
“Lima inisiatif utama digariskan untuk tahun 2026. Pertama, membina identiti nasional (RM100 juta); kedua, memastikan keharmonian dan kesejahteraan komuniti (RM100 juta); ketiga, memelihara warisan (RM10 juta); keempat, melaksanakan transformasi pendigitalan (RM20 juta); dan kelima, mewujudkan premis perpaduan yang kondusif (RM20 juta),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sesi Dialog Belanjawan 2026 di ibu negara.
Menurutnya, lebih 8,500 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) digerakkan melalui pelbagai aktiviti membabitkan tujuh hingga 12 juta rakyat.
Antaranya Minggu Perpaduan yang tahun lalu berjaya menarik lebih 200,000 pengunjung di Pulau Pinang, manakala tahun depan bakal dianjurkan di Sabah.
Selain itu, kementerian juga akan memperkenalkan Tabung Amanah sebagai platform sumbangan korporat di bawah tanggungjawab sosial (CSR) bagi menambah dana penganjuran program perpaduan di peringkat komuniti.