fb fb fb fb fb

Warga Filipina ditemui meninggal dunia di terminal bas Labuan

Mayat mangsa ditemui di Terminal Bas Labuan, awal pagi Rabu lalu/Foto Polis

LABUAN, 6 Jun – Seorang lelaki warga asing ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di Terminal Bas Labuan, awal pagi Rabu lalu.

Mangsa dikenal pasti sebagai Muin Halim, seorang warga Filipina yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 6.45 pagi.

“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian lelaki berkenaan pada pukul 7.20 pagi sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Labuan untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Menurut Mohd Hamizi, punca kematian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut diperoleh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan bagi membantu siasatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN