KOTA BHARU, 30 April- Remaja lelaki berusia 17 tahun yang menunggang motosikal secara berbahaya mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini selepas pertuduhan dibuat di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan bekerja sebagai buruh kasar didakwa menunggang motosikal jenis Honda C 100 B dengan cara mengangkat tayar hadapan yang berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di sini pada jam 12.00 tengah hari, pada 22 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum bawah peruntukan sama.

(Gambar yang tular di media sosial)
Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad mengendalikan pendakwaan tersebut dan remaja itu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Kelantan, Nor Zaimah Mohamed.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM900.00 dengan seorang penjamin dan tertuduh menjelaskan jaminan tersebut.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Jun bagi mendapatkan laporan akhlak.
Terdahulu, tular satu video yang memaparkan pasangan suami isteri melakukan aksi 'wheelie' di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu sebelum mereka tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu semalam.
Bagaimanapun isterinya yang berusia 16 tahun yang sedang hamil dua bulan setengah dibebaskan sebagai saksi pertuduhan.