KUALA LUMPUR, 30 April - Kenyataan media kononnya dikeluarkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Alor Setar berhubung Himpunan MADANI Kedah 2023, adalah palsu.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil menafikan perkara itu menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Katanya, kenyataan palsu itu disebarkan oleh pemilik akaun Telegram 'Edisi Siasat'.
"Harap maklum, akaun Telegram bernama ‘Edisi Siasat’ ini sebar info palsu. Jangan terpedaya.
"Sekali baca pun boleh nampak ‘kenyataan media’ ini salah format dan direka-reka pihak yang benci Kerajaan Perpaduan," katanya yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH).
Menerusi hantaran di Telegram 'Edisi Siasat', kenyataan media itu kononnya dikeluarkan oleh AMK mendakwa membantah kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Himpunan MADANI Kedah 2023.
Dalam pada itu, AMK turut menyiarkan poster penafian kenyataan media berkenaan menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu, memetik laporan Harapan Daily, Ketua AMK Negeri, Dr Taufiq Johari berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan dan sudah membuat penafian dakwaan tersebut dalam akaun rasmi sayap parti.
