AYER KEROH, 30 April- Ibu bapa perlu lebih peka dengan situasi sekeliling dan kesihatan anak-anak ketika musim perayaan ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Melaka, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, ia bagi mengelak penularan COVID-19 terutama menjelang pembukaan semula persekolahan pada 2 Mei.
Beliau berkata walaupun kes COVID-19 di Melaka menunjukkan penurunan minggu lalu, namun langkah berjaga-jaga masih perlu diambil oleh semua pihak terutama ibu bapa.

(Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Melaka,
Datuk Dr Rusdi Abd Rahman)
Jelas beliau, sekiranya kerjasama tidak diberikan, terdapat kemungkinan lonjakan kes akan berlaku selepas minggu persekolahan bermula.
"Ada kemungkinan kalau kita tidak memberi kerjasama ada kemungkinan isu-isu ini akan meningkat semula. Untuk pengetahuan pada minggu lepas telah ada empat kluster di asrama penuh, jadi kita bimbang bila sesi persekolahan bermula, kluster tersebut meningkat kalau tak bagi kerjasama", katanya kepada media ketika ditemui di Ayer Keroh.
Mengulas lanjut katanya, kes COVID-19 di Melaka pada minggu terakhir Ramadan merekodkan sebanyak 552 kes dan turun kepada 381 kes pada minggu pertama Aidilfitri.
Justeru, beliau menggalakkan orang ramai untuk memakai pelitup muka sekiranya berada di tempat awam dan melakukan ujian kendiri COVID-19 sekiranya mempunyai simptom seperti demam, selsema dan sakit tekak.