KEMAMAN, 14 Julai - Seorang remaja nyaris maut selepas termakan biskut yang telah dicampur dengan racun dalam satu kejadian di Kampung Dadong, Kemaman pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 4.00 petang tadi.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang, remaja berusia 13 tahun itu telah dikejarkan ke sebuah klinik kesihatan di sini sebelum dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman (HK) selepas pengsan.
"Sebelum kejadian, mangsa Mohd Daynail Haikal Alias bersama-sama seorang rakannya dikatakan ke sebuah kebun pisang dan kelapa untuk memancing kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.
"Mangsa dikatakan telah menemui dan memakan sekeping biskut yang telah dicampur racun oleh pemilik kebun bagi tujuan membunuh kera yang diikat pada sebatang kayu di kebun itu," kata Hanyan dalam satu kenyataan.
Bapa mangsa, Alias Saras, 57 tahun ketika dihubungi berkata dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan isterinya Roslina Ahmad.
Menurut Alias, selepas memakan biskut yang diambil dari kebun itu, anaknya secara tiba-tiba pengsan dan mulutnya berbuih.
"Melihat kejadian itu, bapa kepada rakan anaknya bertindak membawa Mohd Daynail ke sebuah klinik kesihatan berdekatan untuk menerima rawatan.
"Bagaimanapun Alias bersyukur kerana anaknya kini sudah mulai pulih selepas menerima rawatan di hospital," katanya.
Kes akan disiasat di bawah seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.