fb fb fb fb fb

Remaja hilang selepas memukat ditemukan mati lemas

(FOTO IHSAN BOMBA)

HULU TERENGGANU, 4 Jun- Aktiviti memukat ikan di sungai dekat Kampung Dusun, Hulu Terengganu bertukar menjadi tragedi, selepas seorang remaja lelaki ditemukan lemas.
 
Mayat mangsa lemas tersebut telah berjaya ditemui kira-kira pukul 1.05 tengah hari tadi.
 
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata, mayat Muhammad Adam Syazwan Mokhtar, 15 tahun itu ditemui oleh orang awam di Kampung Temir pada jarak tiga kilometer dari lokasi terakhir mangsa hilang.
 
Menurut Hanaffi Mohd, sepasukan bomba membawa mangsa ke darat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
 
Pada pukul 2.30 petang jumaat lalu mangsa dilaporkan hilang dihanyut arus deras yang datang secara tiba-tiba ketika mandi selepas memukat ikan bersama rakan.
 
Manakala, rakannya Putera Azim Fahmi Azmi, 16 tahun, berjaya menyelamatkan diri ke tebing sungai dan sempat melihat kelibat mangsa tenggelam dibawa arus.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Hasmerra Hassan, berkata,  mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Operasi SAR turut melibatkan 77 anggota membabitkan pelbagai jabatan dan agensi termasuk penduduk kampung menyertai operasi tersebut," katanya kepada media di sini.
 


(FOTO IHSAN BOMBA)

Media Baharu