fb fb fb fb fb

Rayuan SRC: Najib gagal gugurkan Tengku Maimun

PUTRAJAYA, 23 Ogos - Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat kekal mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan bagi mendengar rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak berhubung berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Ini selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu yang dikemukakan di saat-saat akhir agar Tengku Maimum menarik diri daripada mendengar rayuannya.

Ketika menyampaikan keputusan panel itu, Tengku Maimun berkata tiada sebarang kaitan catatan Facebook suaminya pada 2018 dengan rayuan Datuk Seri Najib Razak.

Tambahnya, hantaran tersebut dimuat naik sebelum Datuk Seri Najib didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Hantaran ini dimuat naik empat tahun lepas,” katanya.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Pada prosiding pagi tadi, peguam Hisyam Teh Poh Teik memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mengemukakan permohonan melalui notis usul yang difailkan semalam agar Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan anak guamnya.

Najib mendakwa suami kepada Tengku Maimun telah menerbitkan hantaran menerusi laman Facebook berhubung dirinya.

Dalam afidavit sokongannnya, Najib berkata, beliau mendapat tahu pada 17 Ogos lalu, terdapat satu hantaran dibuat di laman Facebook pada 11 Mei 2018 oleh individu bernama Zamani Ibrahim berkaitan dirinya dalam prosiding rayuan akhir itu.


Media Baharu