fb fb fb fb fb

Rayuan SRC: Hukuman Najib kekal, 12 tahun penjara serta denda RM210 juta

PUTRAJAYA, 23 Ogos - Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Lima panel hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati tiada sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, yang pada ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bekas Perdana Menteri itu akan menjalani hukuman penjara 12 tahun mulai hari ini.

Tengku Maimun turut berkata, hukuman yang dikenakan ke atas Najib tidak keterlaluan dan sabitan itu selamat bagi kesemua tujuh pertuduhan yang dihadapinya.

"Saya dengan ini mengumumkan waran komital (perintah menjalani hukuman penjara) ," kata Tengku Maimun memerintahkan prosiding tamat.

Najib hari ini ditemani dua orang anaknya iaitu Nooryana Najwa dan Norashman.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.

Media Baharu