KUALA TERENGGANU, 23 Ogos- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis santapan bersama warga istimewa dan fakir miskin sempena sambutan ulang tahun ke-60 hari keputeraan baginda di Istana Syarqiah, Kuala Terengganu.
Baginda turut menyampaikan sumbangan kepada 400 golongan terlibat berbentuk wang tunai berjumlah RM200,000.
Penerima melibatkan 168 lelaki dan 232 wanita yang berdaftar dibawah Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.
Masing masing menerima sumbangan RM500 seorang.
Turut berangkat Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat.
(Sultan dan Sultanah Terengganu menyampaikan sumbangan kepada golongan OKU dan fakir miskin
pada majlis santapan sempena sambutan ulang tahun ke-60 hari keputeraan baginda)