KUALA LUMPUR, 1 Julai – Butiran pelaksanaan rasionalisasi subsidi bersasar bagi petrol RON95 di peringkat akhir untuk dimuktamadkan.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pelaksanaannya bermula separuh kedua tahun ini.
Beliau menegaskan, langkah ini bertujuan mengekang ketirisan dan memastikan subsidi benar-benar dinikmati oleh mereka yang layak.
Manakala golongan berkemampuan dan perniagaan turut menyumbang bahagian yang adil.
"Subsidi diesel sudah dilaksanakan pada 10 Jun 2024, dan rasionalisasi subsidi RON95 akan bermula pada separuh kedua 2025. Tujuan kita adalah untuk mengekang ketirisan dan memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima subsidi," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Invest ASEAN-Malaysia 2025, petang tadi.
Dalam masa sama, beliau berkata peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan mempelbagaikan sumber hasil negara, sekali gus membantu pengurusan fiskal secara lebih berhemat dan mampan.
Datuk Seri Amir Hamzah turut menggariskan beberapa inisiatif strategik kerajaan termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Strategi Nasional Semikonduktor (NSS) dijangka memperkukuh pelaburan bernilai tinggi serta menyokong pertumbuhan ekonomi mampan.