fb fb fb fb fb

Bayaran Kadar Kompaun Khas Flat Rate RM150 dilanjutkan sehingga 31 Dis 2025

Datuk Aedy Fadly Ramli, Ketua Pengarah JPJ

PERINGGIT, 1 Julai - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melanjutkan tempoh Tawaran Bayaran Kadar Kompaun Khas Flat Rate RM150 sehingga 31 Disember ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tawaran ini hanya melibatkan tiga kategori saman iaitu saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) yang bermula Oktober 2018, Notis 114 dan Notis 115 dari tahun 2023 ke bawah.
 
Jelas beliau, setakat 30 Jun lalu, 442,870 saman telah diselesaikan, namun masih berbaki lebih 2 juta yang tertunggak.

Tambahnya, Saman AwAS merekodkan jumlah tunggakan tertinggi iaitu lebih 1.5 juta, diikuti Notis 114 sebanyak 311,866 dan 171,321 Notis 115.

"Kegagalan menyelesaikan mana-mana saman yang boleh dikompaun sama ada yang tertunggak atau yang telah melebihi tarikh kompaun boleh menyebabkan kenderaan disenarai hitam secara automatik oleh sistem bermula hari ini.

Jadi, mana-mana saman notis AwAS yang tidak diselesaikan dalam tempoh 60 hari selepas notis itu dikeluarkan, JPJ akan senarai hitamkan kenderaan atau pemandu tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar bagi Bas Express dan Bas Persiaran di sini.

Menerusi operasi tersebut, JPJ mendapati peraturan yang dikuatkuasakan mulai hari ini dipatuhi.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN