fb fb fb fb fb

Rapid Rail mohon maaf, tren terkandas punca LRT Kelana Jaya terjejas

SUBANG JAYA, 10 Mei- Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang terjejas pagi tadi berlaku disebabkan sebuah tren yang terkandas.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Amir Hamdan berkata, tren bernombor 39 yang terkandas di Stesen LRT Taman Jaya dikatakan berpunca daripada masalah sistem brek.

"Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 8.16 pagi tadi setelah Pusat Kawalan Operasi mendapati isu kebocoran hidraulik.

Seramai 250 penumpang di dalam tren bernombor 39 tersebut terkandas dan ia juga menjejaskan seramai 12,000 penumpang dari 17 stesen lain," katanya dalam sidang media di sini.

(Amir Hamdan, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd)

Susulan itu, pihaknya memohon maaf kepada semua pengguna yang mengalami kelewatan dan kesulitan untuk menuju destinasi masing-masing khususnya ke tempat kerja pada pagi tadi.

"Penumpang yang terjejas boleh menuntut baucar bayaran balik satu perjalanan untuk lima hari bermula hari ini yang boleh digunakan di laluan LRT kelana Jaya, LRT Ampang dan LRT Kajang," katanya lagi.

Media Baharu