fb fb fb fb fb

Pelajar lelaki meninggal dunia ketika merentas desa

(FOTO HIASAN)

MARANG, 10 Mei- Seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di sini, meninggal dunia ketika sedang menjalani latihan merentas desa pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris berkata dalam kejadian pada 8.34 pagi itu, pelajar tersebut, Aman Basri Muhd Rohaizi, 16, dikatakan terjatuh ketika sedang berlari dan pengsan.

"Berdasarkan temu bual bersama beberapa saksi pelajar sekolah yang sama, mereka telah cuba memberi bantuan pernafasan namun keadaan mangsa semakin lemah.

"Guru yang bertugas telah membawa mangsa ke klinik Pengkalan Berangan untuk menerima rawatan namun doktor memaklumkan mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

(FOTO HIASAN BERNAMA)

Beliau berkata terdapat luka di bahagian atas kening sebelah kanan, calar di bawah dagu sebelah kiri dan calar di belakang tangan sebelah kiri yang dipercayai berlaku semasa mangsa terjatuh.

Hasil pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
-BERNAMA

Media Baharu