KUALA LUMPUR, 29 Disember- Bagi memenuhi keperluan orang ramai yang akan menghadiri sambutan ambang tahun baharu 2024 Ahad ini, waktu operasi perkhidmatan rangkaian rel dan bas Rapid KL akan dilanjutkan.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menerusi satu kenyataan, hari ini, berkata pelanjutan waktu operasi itu akan membabitkan 12 stesen rel transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan Monorel KL, tiga stesen Bas Rapid Transit (BRT) dan 21 laluan bas Rapid KL serta perantara MRT.
"Stesen-stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT yang dilanjutkan waktu operasi hingga jam 1.30 pagi ialah Laluan Kelana Jaya (KLCC dan Masjid Jamek), Laluan Ampang/Sri Petaling (Masjid Jamek, Bandaraya, IOI Puchong Jaya dan Maluri), serta Laluan Monorel (Bukit Bintang).
"Selain itu, Laluan Kajang (Bukit Bintang, TRX, Cochrane dan Maluri), MRT Laluan Putrajaya (TRX), serta BRT Laluan Sunway (Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash)," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, namun penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.
Katanya, semua stesen pertukaran rel turut dilanjutkan waktu operasi bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir.
"Penumpang disaran menggunakan kad Touch 'n Go bagi menikmati perjalanan lebih lancar dan mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen atau menaiki bas, manakala pengguna token pula digalakkan membeli token pergi dan balik sebelum keluar dari stesen.
"Rapid KL akan menambah bilangan anggota dan kakitangan operasi bagi menyokong keperluan operasi serta membantu melancarkan perjalanan anda," katanya.
Bagi keselesaan pengguna, katanya, kekerapan tren bagi semua perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel akan ditambah bermula jam 1.00 tengah hari pada hari berkenaan hingga tamat waktu operasi.
"Rapid KL menyarankan warga ibu kota menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada hari berkenaan bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, terutama berdekatan kawasan-kawasan yang akan menganjurkan acara sempena tahun baharu.
"Untuk makluman lanjut, orang ramai boleh mengikuti Twitter dan Facebook MyRapidKl atau melayari web: www.myrapid.com.my," katanya.