fb fb fb fb fb

Jenazah dipindahkan tiga kali akibat banjir

Jenazah wanita dipindahkan sebanyak tiga kali /FOTO RTM

JERANTUT, 29 Disember- Jenazah seorang wanita dipindah tiga kali daripada van jenazah ke trak tentera berikutan laluan di Kampung Paya Garok, Jalan Jerantut- Felda Padang Piol, Jerantut dinaiki air.

Laluan tersebut ditenggelami air sedalam kira-kira 0.5 meter dengan sejauh kira-kira 100 meter dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Penyelaras DUN Pulau Tawar, Haris Salleh Hamzah yang turut serta membawa jenazah berkata, wanita itu, Zaiton Mohamad, 66 tahun meninggal di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh akibat mengalami penyakit radang hati pada jam 11.35 malam, pada Rabu.

Walaupun mengalami sedikit kesulitan namun pengurusan jenazah selamat dilakukan dengan kerjasama tentera, bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat penghulu dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Selain itu, pelbagai alternatif digerakkan selari kehendak Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mahu semua aset kerajaan terus digerakkan membantu penduduk terjejas banjir.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD