fb fb fb fb fb

JAKIM ajak orang ramai sertai Program Kerohanian Ambang Tahun Baru 2024

Poster Program Kerohanian Ambang Tahun Baru 2024 oleh JAKIM

KUALA LUMPUR, 29 Disember- Bagi menyambut tahun baharu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Program Kerohanian Ambang Tahun Baru 2024 pada 31 Disember 2023 bertempat di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah JAKIM Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff berkata, pelbagai aktiviti kerohanian diadakan sebagai alternatif kepada masyarakat Islam di negara ini yang menjadi kelaziman menyambut tahun baharu masihi dengan pelbagai aktiviti diadakan.

Beliau berkata, tiga buah masjid tersebut akan mengadakan aktiviti bacaan Yaasin, zikir dan doa selamat.

"Masjid Putra turut mengadakan ceramah khas ambang tahun baharu yang akan disampaikan oleh Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan serta bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

"Manakala, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pula menampilkan program khas Ambang Gema Syukur dengan pengisian Kuliah Maghrib Khas, sesi Tadabbur Surah Al-Mulk dan refleksi,"katanya.

Tambah Hakimah, selain itu, program akan diteruskan pada 1 Januari 2024 dengan acara Qiamulail tahun baharu, Ceramah Khas Subuh 4 GAZA, slot International Quran Moment dan Forum Perdana Tahun Baharu.

JAKIM menyeru seluruh masyarakat hadir beramai-ramai mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti kerohanian di samping bermunajat dan berdoa agar negara dijauhi segala musibah dan bala bencana.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE