fb fb fb fb fb

Rapatkan jurang gender, hargai peranan wanita - Raja Permaisuri Agong

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Ogos - Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah langkah proaktif mesti diambil bagi merapatkan jurang gender dan memastikan suara wanita didengar di peringkat tertinggi.

Seri Paduka Baginda menegaskan, Malaysia kini berada di kedudukan ke-103 daripada 146 negara dalam Indeks Jurang Gender Global 2022 Forum Ekonomi Dunia.

“Kerajaan pada masa ini sedang mempergiat usaha untuk menangani semua tuntutan ini bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih saksama, adil dan mampan. Namun, masih banyak yang perlu dilakukan.

"Justeru, usaha perlu digandakan bagi mengejar negara jiran serta membuktikan bahawa suara wanita Malaysia dihormati dalam pembuat dasar," titah Seri Paduka.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Sambutan Hari Wanita ke-64 di ibu negara, hari ini.

Dalam titahnya, Raja Zarith Sofiah menekankan kepimpinan tidak ditentukan oleh jantina, sebaliknya oleh kemampuan memimpin dengan visi, belas kasihan dan ketabahan.

"Wanita daripada rumah yang paling sederhana hingga ke institusi tertinggi telah memainkan peranan besar dalam membentuk Malaysia melalui bakat, kemahiran serta keteguhan mereka untuk berjaya," titah baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa pandemik COVID-19 bukan sahaja memburukkan jurang sosial, malah mendedahkan kelemahan yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi inklusif.

"Pada masa itu, ramai wanita barisan hadapan termasuk petugas kesihatan, pendidik dan sukarelawan bukan sahaja menyelamatkan nyawa, tetapi juga menjaga keluarga serta mengukuhkan masyarakat.

"Meskipun ada yang terpaksa menanggung keletihan fizikal, tekanan mental, dan menjadi mangsa keganasan rumah tangga," titah Raja Zarith Sofiah.

Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada wanita sebagai wira harian negara, yang membesarkan anak, menjaga warga emas, mendidik generasi dan memastikan keluarga mempunyai rumah yang selesa.

Walaupun tidak tercatat dalam sejarah, merekalah sebenarnya tiang negara.

Baginda turut menegaskan, Islam serta pelbagai tradisi agama lain mengiktiraf peranan penting wanita, dan sejarah Islam membuktikan sumbangan tokoh besar seperti Fatimah al-Fihriyyah, pengasas Universiti al-Qarawiyyin di Maghribi, antara institusi pengajian tertua dunia.

"Marilah kita menghormati dan menghargai wanita bukan sahaja pada Hari Wanita tetapi setiap hari, melalui dasar serta tindakan bersama," titah Seri Paduka Baginda.

Turut hadir pada majlis itu isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin. 

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN