PUTRAJAYA, 24 Ogos – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah akan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia bermula Isnin hingga Khamis atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, lawatan berkenaan turut disusuli Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei ke-26 (ALC).
Sultan Hassanal Bolkiah akan diiringi Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah, menteri-menteri kabinet serta pegawai kanan kerajaan Brunei sepanjang lawatan itu.
Baginda dijadual menerima sambutan negara di Istana Negara pada Selasa, diikuti dengan kunjungan menghadap Yang di-Pertuan Agong, sebelum menghadiri majlis santapan negara yang akan dihoskan oleh Seri Paduka.
Pada Rabu, Sultan Hassanal Bolkiah dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ALC ke-26.
ALC merupakan mekanisme dua hala tertinggi Malaysia-Brunei yang menjadi platform menilai kemajuan kerjasama, membincangkan isu berbangkit serta bertukar pandangan mengenai hal serantau dan antarabangsa.
Kementerian itu menegaskan, lawatan serta mesyuarat tahunan berkenaan mencerminkan hubungan istimewa antara Malaysia dan Brunei, sekali gus memperkukuh komitmen bersama dalam kerjasama strategik demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
Pada 2024, Brunei merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah dagangan Malaysia-Brunei mencecah RM3.02 bilion, merangkumi eksport bernilai RM2.18 bilion dan import RM840 juta.