TELUK INTAN, 24 Ogos – Program Residensi Rakyat (PRR) pertama di Perak akan dibangunkan di Tambun dengan kos RM150 juta.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek bersepadu itu dijangka dilancarkan hujung tahun ini sebagai model perumahan rakyat yang lebih moden dan selesa.
Berbeza dengan Program Perumahan Rakyat (PPR), PRR menampilkan konsep pembangunan menyeluruh yang merangkumi pelbagai kemudahan moden termasuk kediaman bercirikan rumah pintar.
“Ini projek kerajaan, tiada risiko projek terbengkalai. PRR pertama akan dibangunkan di kawasan Parlimen Tambun, iaitu kawasan Parlimen Perdana Menteri,” katanya selepas merasmikan Projek dan Galeri Jualan Bandar PR1MA Teluk Intan.
Selain Tambun, projek PRR turut dirancang di Teluk Intan, melibatkan 500 unit kediaman dengan kos sama dan dijangka bermula tahun hadapan.
Di Teluk Intan juga, PR1MA sedang membangunkan Fasa 1 Bandar PR1MA yang merangkumi 86 unit rumah teres setingkat di atas tanah seluas 39 ekar dengan Nilai Pembangunan Kasar RM103 juta. Secara keseluruhan, 324 unit kediaman akan dibina melalui kerjasama dengan Intan Prima Township Development Sdn Bhd dan dijangka siap pada suku ketiga 2028.
Sementara itu, kerajaan negeri digalakkan menyerahkan tanah secara percuma bagi melancarkan pelaksanaan PRR, sekali gus membolehkan peruntukan pembangunan digunakan sepenuhnya untuk membina rumah berkualiti tanpa dibebani kos tanah.
Jelas Nga, setakat ini 32 bidang tanah telah diserahkan oleh kerajaan negeri untuk dibangunkan secara berperingkat di bawah program PRR, selari dengan dasar baharu kementerian berteraskan konsep People–Public–Private Partnership yang inklusif dan mampan.
“Ini dasar baharu. Formula menang-menang. Kerajaan negeri beri tanah, kerajaan Persekutuan bawa projek, rakyat mendapat manfaat. Kita juga buka ruang kepada pemaju swasta untuk menyerahkan tanah jika sesuai dan berpotensi,” jelasnya.
Mulai tahun ini, semua projek PRR diwajibkan sebagai pembangunan bersepadu lengkap dengan pelbagai kemudahan moden, khusus untuk golongan B40 dan M40.
Bagi kawasan bandar, unit PRR hanya ditawarkan untuk sewaan pada kadar RM124 sebulan, manakala di kawasan luar bandar, unit PRR ditawarkan untuk jual beli terus atau skim sewa beli (rent-to-own) dengan harga sekitar RM60 ribu seunit.
Kerajaan yakin dasar itu mampu melonjakkan sektor perumahan rakyat, mengurangkan beban kos sara hidup, dan memastikan akses perumahan mampu milik kepada semua rakyat Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Nga memaklumkan Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) yang bakal digubal akan memastikan pemaju tidak lagi bertindak sewenang-wenangnya dalam projek pembangunan semula kawasan perumahan lama.
Katanya, setiap cadangan pembangunan diwajibkan melalui jawatankuasa eksekutif dan mediasi bagi menjamin kepentingan awam.
Akta tersebut berlandaskan prinsip “one for one, small for big, less for more”, yang memberi jaminan pemilik rumah akan menerima unit baharu lebih luas dan bernilai dengan status tanah dikekalkan seperti asal.
Kadar persetujuan minimum ditetapkan pada 80 peratus, manakala pemilik yang tidak bersetuju tetap akan menerima pampasan sewajarnya.
Rang Undang-Undang PSB dijangka dibentangkan di Parlimen selepas kementerian dan Jawatankuasa Pilihan Khas mencapai kata sepakat.
Kerajaan yakin pelaksanaan akta itu dapat mewujudkan situasi menang-menang antara rakyat, pemaju dan kerajaan, selaras dengan agenda pembangunan bandar yang inklusif dan berdaya huni.