fb fb fb fb fb

Rangkuman banjir di empat negeri

KUALA LUMPUR, 15 Disember- Hanya sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih dibuka di Pahang.

Ia susulan penutupan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong, Bera, pada pukul 1.00 tengah hari tadi setelah banjir di kawasan terbabit didapati surut sepenuhnya.

Kesemua sembilan penduduk daripada tiga buah keluarga terjejas banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan telah dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing.

Menurut Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 4.00 petang tadi, PPS SK Sinar Mutiara, Sungai Miang, Pekan, masih dibuka bagi menempatkan 142 orang daripada 36 keluarga.

Di Perak, jumlah penduduk terjejas banjir kekal 104 penduduk daripada 25 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan, tiga PPS masih dibuka melibatkan tiga daerah berbeza.

PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib di daerah Hilir Perak menempatkan 70 penduduk daripada 16 keluarga.

Di Manjung, 28 penduduk daripada tujuh keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai.

Manakala enam penduduk daripada dua keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Teluk Memali di daerah Perak Tengah.

Di Terengganu, 37 penduduk daripada 11 keluarga terjejas banjir yang berada di PPS Kampung Kemat Hulu Terengganu telah dibenarkan pulang setakat pukul 2.00 petang tadi.

Seramai 37 penduduk terjejas banjir membabitkan 10 keluarga kembali berlindung di PPS SK Atas Tol Kuala Terengganu.

(Foto fail)

Sementara di Kelantan, jumlah penduduk terjejas banjir kekal 2,019 orang yang berlindung di tujuh PPS di Pasir Mas.

Menurut infobencana JKM, PPS SK Tok Deh mencatatkan jumlah paling ramai penduduk terjejas iaitu 712 orang daripada 226 keluarga.

PPS terlibat ialah SK Gual Periok, menempatkan 544 individu berlindung daripada 149 keluarga.

Lima lagi PPS yang beroperasi ialah SK Sri Kiambang (234) SK Kubang Kual (256), PPS Putat Tujoh (157), Masjid Mukim Padang Licin (69) dan SK Kedai Tanjong 47 orang.

Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan bacaan melebihi paras amaran iaitu 8.88 meter manakala Sungai Golok di Kuala Jambu Tumpat 2.05 meter melebihi paras waspada.

Menurut Sekretariat JPBN Kelantan, cuaca semasa beberapa daerah dalam keadaan mendung dan baik.

Media Baharu