KOTA BHARU, 4 Ogos – Seorang bayi lelaki ditemukan masih bernyawa di sebuah pondok bas di Jalan Lama Kulim menghala ke Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali, Pasir Puteh, kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Penguasa Polis (Supt) Zaizul Rizal Zakaria menerusi satu kenyataan memaklumkan, bayi yang cukup sifat itu dibalut kain pelekat dan ditinggalkan di lantai pondok bas berkenaan.
“Bayi tersebut dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di talian 09-7862005 atau hadir ke IPD bagi membantu siasatan.