GUA MUSANG, 28 Jun - Pembinaan galeri arkeologi oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Gua Musang, Kelantan bakal memacu pertumbuhan ekonomi penduduk tempatan menerusi sektor pelancongan warisan.
Galeri itu akan menempatkan penemuan bersejarah termasuk rangka manusia prasejarah, Mek Keledung yang dianggarkan berusia 14,000 tahun, yang ditemukan di Gua Keledung Kecil, Lembah Nenggiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, berkata galeri tersebut dijangka menjadi tarikan pelancongan baharu di kawasan Gua Musang dan negeri Kelantan.
“Ini merupakan satu khazanah yang cukup bernilai. Saya dimaklumkan TNB akan membangunkan galeri khas untuk menempatkan penemuan ini.
"Saya berharap galeri ini mampu menarik pelancong ke kawasan Nenggiri dan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan,” katanya selepas meninjau lokasi penemuan rangka Mek Keledung di Pos Pulat di sini hari ini.
Terdahulu, pasukan penyelidik dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menemui rangka lengkap manusia prasejarah bersama beberapa artifak lain di gua berkenaan.
Antara yang ditemukan termasuk alat-alat batu seperti kapak genggam, alat grind-pounding, alat repeh, dan batu pelandas, dipercayai digunakan dalam ritual pengebumian masyarakat prasejarah.
Semua peralatan itu diperbuat daripada batu sabak dan kristal kuarza, menjadikan lokasi tersebut antara penemuan arkeologi penting di negara ini.
Galeri berkenaan akan dibina di kawasan bandar Gua Musang dan dijangka memperkukuh identiti sejarah kawasan Nenggiri sebagai destinasi pelancongan warisan negara.