fb fb fb fb fb

80 peratus hilang nyawa di laut gara-gara tidak pakai jaket keselamatan

Sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) 2025 bertemakan ‘Berapung Untuk Hidup’ di Persiaran Kapal Bugis, Tanjung Harapan/Foto Maritim Malaysia

KLANG, 28 Jun - Hampir 80 peratus kematian di laut yang direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tahun lalu dikenal pasti berpunca daripada kegagalan memakai jaket keselamatan.

Pengarah Bahagian Operasi Udara Maritim Laksamana Pertama Maritim, Mohd Tahir Khalid berkata, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini sahaja, sebanyak 108 insiden di laut direkodkan melibatkan 251 mangsa.

Tambah beliau, daripada jumlah itu, 203 mangsa berjaya diselamatkan, manakala 36 disahkan maut dan 12 lagi masih hilang.

“Jika trend ini berterusan, jumlah kematian akibat insiden di laut boleh mencecah hampir 100 nyawa menjelang akhir tahun 2025.

"Ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan tahap kesedaran keselamatan dalam kalangan komuniti maritim," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) 2025 bertemakan ‘Berapung Untuk Hidup’ di Persiaran Kapal Bugis, Tanjung Harapan, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.

Sambutan HKKM 2025, kini memasuki edisi ke-6, dianjurkan bagi memperingati detik pengambilalihan rasmi tugas penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) oleh Maritim Malaysia daripada Jabatan Laut Malaysia pada tahun 2006.

Selain menyemarakkan kesedaran keselamatan, HKKM turut menjadi platform menyemai budaya keselamatan maritim dalam kalangan komuniti dan masyarakat.

Antara pengisian utama sambutan kali ini termasuk aktiviti demonstrasi ‘Berapung Untuk Hidup’, demonstrasi menyelamat dari udara, dialog keselamatan bersama komuniti nelayan dari Tok Muda, Kapar dan Klang.

Selain itu,antara pengisian lain adalah pameran keselamatan maritim, pemeriksaan kesihatan percuma oleh Fakulti Pergigian UiTM, dan jualan Rahmah.

GRACE AISYAH KEDAYAN