JOHOR BAHRU, 3 Oktober- Sebanyak 117 kes penipuan dalam talian melibatkan golongan guru di Johor direkodkan bagi tempoh Januari sehingga September tahun ini.
Ia merupakan kes yang tertinggi dalam kalangan penjawat awam dengan jumlah kerugian kira-kira RM4.2 juta direkodkan bagi tempoh itu, berbanding 119 kes dengan jumlah kerugian RM3.4 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata antara punca menyebabkan guru menjadi mangsa adalah bilangan golongan itu yang ramai, melebihi 50,000 orang di negeri Johor.
(Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat)
"Scammer ini tidak pilih mangsa, tapi mungkin kerana ramai komuniti guru di sini. Itulah masalah yang menyebabkan menjadi mangsa. Walau bagaimanapun, kita didik, beri pendidikan ini, kita beri penerangan ini supaya untuk mengelakkan mereka menjadi mangsa. Yang lain-lain, bukan guru pun ada juga. Ada juga yang terpedaya", katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 388 kes penipuan dalam talian melibatkan keseluruhan penjawat awam di negeri itu turut direkodkan dengan nilai kerugian kira-kira RM10.02 juta berbanding 322 kes dengan kerugian kira-kira RM109 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.
Antara penipuan dalam talian yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini adalah kes 'Macau Scam, Scam Cinta, Scam Kerja, Scam Pinjaman' dan lain-lain lagi.
Pihaknya menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian.
Beliau ditemui selepas Program Town Hall Ancaman Scammer Masa Kini di Dewan Muafakat Wisma Bank Simpanan Nasional, Johor.