fb fb fb fb fb

Sistem penjajaran selari semua kapal, tangani kerosakan pukat lebih 200 nelayan di Tanjung Kling

(Dr Muhamad Akmal ditemui media dalam program pemantauan kawasan tangkapan ikan nelayan daerah Melaka Tengah, Banda Hilir)

BANDA HILIR, 3 Oktober- Kerajaan Negeri Melaka memandang serius kerosakan pukat milik 242 nelayan yang dirempuh puluhan kapal dagang yang berlabuh secara berselerak di perairan Tanjung Kling, Melaka.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Laut, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Beruas akan melaksanakan sistem penjajaran selari bagi semua kapal yang berlabuh di perairan berkenaan.

Menurutnya, menerusi penjadualan itu, semua kapal yang bakal tiba di perairan tersebut akan dimaklumkan mengenai lot khas untuk berlabuh dalam tempoh 48 jam.


(Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh)

"Kita akan minta Pelabuhan Tanjung Beruas bersama Pelabuhan Klang dan juga Jabatan Laut, kita akan menyelaras semula. Jadi yang inilah sebenarnya, menyelaras semula ini maksudnya penjadualan kapal. Mungkin kita boleh mengehadkan satu kawasan, satu kapal dalam satu kawasan dan juga bagaimana susunan mereka.

"Dari segi susunan mereka ini, mesti dalam satu garis selari yang mana nelayan kita boleh turunkan pukat dan jala mereka tanpa perlu memikirkan bahawa pukat ini akan tersangkut lagi. Jadi dengan harapan, dengan penjadualan dan juga realignment ini dapat membantu nelayan", katanya.

Beliau ditemui pada program pemantauan kawasan tangkapan ikan nelayan daerah Melaka Tengah di Jabatan Perikanan Negeri di Banda Hilir.

Pihaknya juga memberi jaminan sistem tersebut tidak akan menjejaskan aktiviti penangkapan ikan dan akan dilaksanakan dalam tempoh kurang sebulan.

Jabatan Laut juga digesa melakukan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap kapal yang berlabuh dan dilihat masih gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Media Baharu