fb fb fb fb fb

Rakyat tonggak kekuatan negara

Foto FB Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR, 30 Ogos - Rakyat tonggak kekuatan negara, tanpa sumbangan rakyat, sama ada kecil ataupun besar, perjuangan kemerdekaan dan pembangunan Malaysia hari ini tidak mungkin menjadi kenyataan, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, beliau turut berkongsi nama-nama besar para negarawan seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Tan Cheng Lock, dan Tun V.T. Sambanthan, nama-nama besar yang sering terpahat sebagai tokoh yang memimpin rundingan serta menyatukan suara rakyat untuk mencapai kebebasan.

Namun, Menurut Datuk Aaron, kemerdekaan negara ini juga terhasil daripada pengorbanan dan keberanian rakyat yang menjadi nadi perjuangan, menyumbang tenaga, masa, dan jiwa raga agar negara ini mampu berdiri sebagai sebuah bangsa merdeka.

"Antaranya, Datuk Siti Rahmah Kassim, dikenal kerana mendermakan gelang emas pemberian bapanya sebagai hadiah perkahwinan kepada Tunku Abdul Rahman semasa beliau memohon derma untuk membiayai perjalanan ke London bagi perundingan kemerdekaan.

"Tidak ketinggalan, kita juga mengenang keberanian Sybil Kathigasu, seorang jururawat keturunan India Eurasian dari Ipoh, Perak, yang menjadi wira ketika zaman pendudukan Jepun. Beliau sanggup mempertaruhkan nyawa dengan memberikan rawatan perubatan serta sokongan kepada gerakan bawah tanah anti-Jepun.

"Tindakan itu akhirnya membawa kepada penangkapan dan penyeksaan kejam oleh pihak tentera Jepun. Namun, Sybil tidak pernah goyah mempertahankan prinsip kemanusiaan dan cintanya kepada tanah air," konsinya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut, Datuk Aaron, kisah pengorbanan ini menunjukkan bahawa rakyat juga adalah wira kemerdekaan, mereka yang sanggup berkorban demi negara tercinta walaupun tidak tercatat sebagai tokoh utama dalam sejarah.

Jelanya, beliau memilih untuk berkongsi kisah ini kerana ia amat bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.”

"Saya dan seluruh warga Kementerian Perpaduan Negara turut mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan ke-68 buat seluruh rakyat Malaysia," ucapnya.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI