PUTRAJAYA, 30 Ogos – Program Pentarama Merdeka @Hop On Hop Off (HOHO) bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 berlangsung meriah di sekitar Putrajaya, malam ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, hadir bersama skuad Pentarama bagi menghidupkan suasana sambutan dengan persembahan seni budaya di lokasi tumpuan.
Pentarama merupakan program hiburan santai berbentuk persembahan jalanan bergerak yang menggabungkan nyanyian patriotik, tarian, sajak serta sketsa, bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat.
Perjalanan malam ini bermula di Masjid Putra dengan sesi bergambar bersama tetamu kehormat, sebelum skuad bergerak ke hentian pertama di Persimpangan Hotel Dorsett dan hentian kedua di Persimpangan Jalan Kemerdekaan.
Beliau bersama tetamu kehormat turut meluangkan masa menyaksikan persembahan serta berinteraksi bersama orang ramai sebelum meninggalkan program sekitar pukul 10.50 malam.