fb fb fb fb fb

Laksamana Muda (B) Datuk Anuar Alias dinobat Tokoh Kemerdekaan Selangor 2025

Foto RTM

SHAH ALAM, 31 Ogos – Laksamana Muda (B) Datuk Anuar bin Alias, wira sebenar di sebalik kisah filem PASKAL, dinobatkan sebagai Tokoh Kemerdekaan Selangor 2025 pada sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi.

Penghargaan itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan keberanian beliau dalam mempertahankan kedaulatan negara sepanjang berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Datuk Anuar, yang pernah mengetuai pelbagai operasi khas termasuk misi pengunduran pasukan PBB di Somalia dan Misi Pengaman di Angola, mengakui anugerah tersebut amat bermakna.

“Pertama, saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana memilih saya sebagai Tokoh Kemerdekaan ke-68. Saya berasa amat terharu, teruja, dan bersyukur dengan pengiktirafan ini,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa filem “PASKAL The Movie” diadaptasi daripada pengalamannya sendiri ketika bertugas di Angola pada 1998, termasuk insiden menyelamatkan orang awam dalam serangan hendap.

“PASKAL The Movie itu berdasarkan kisah benar. Semasa rondaan, saya melihat sebuah trak awam diserang hendap. Pemandu ditembak di kepala dan ketika itu trak berkenaan membawa kira-kira 70 orang awam, termasuk kanak-kanak,” jelasnya.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang turut menyerahkan wang tunai RM10,000 sebagai tanda penghargaan.

Datuk Anuar menamatkan kerjayanya dalam TLDM sebagai Panglima PASKAL dari 2018 hingga 2020, sebelum dilantik sebagai Komander Pangkalan TLDM Lumut sehingga 2022.

Sementara itu, Dataran Kemerdekaan Shah Alam bergema dengan laungan tujuh kali “Merdeka” tepat jam 12 tengah malam, dipimpin sendiri oleh Amirudin sebagai simbolik penyatuan dan semangat patriotik.

Kira-kira 60,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan yang turut menampilkan perbarisan 84 kontinjen daripada agensi kerajaan, badan berkanun, NGO, sekolah, serta pameran aset pasukan keselamatan.

Acara malam kemerdekaan dimeriahkan dengan persembahan artis tanah air termasuk Dato’ Hattan, Bunkface, Aisyah Retno, dan Ruffedge, diakhiri dengan pertunjukan bunga api berwarna-warni yang memukau pengunjung.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD