fb fb fb fb fb

Malaysia tegas pertahan hak Palestin di Perhimpunan Agung PBB

Malaysia sekali lagi menegaskan pendirian menyokong perjuangan Palestin ke arah mencapai kemerdekaan.

PUTRAJAYA, 30 Ogos - Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap langkah yang diambil bagi menghalang penyertaan wakil Palestin dalam Sesi Ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Wisma Putra dalam kenyataan menegaskan, langkah itu wajar dibatalkan demi memastikan diplomasi multilateralisme terus berfungsi secara berkesan serta konstruktif dalam kalangan semua negara anggota dan pemerhati PBB.

Menurut kenyataan itu lagi, jaminan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri tidak boleh dinafikan, ia selaras dengan Piagam PBB dan pelbagai resolusi antarabangsa yang telah dipersetujui sebelum ini.

Hak berkenaan termasuk menuntut keadilan melalui mekanisme antarabangsa yang relevan.

Malaysia sekali lagi menegaskan pendirian teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin ke arah mencapai kemerdekaan serta pembentukan sebuah negara berdaulat.

Masyarakat antarabangsa juga diseru agar menjunjung prinsip keadilan, kesaksamaan dan maruah insan, demi menjayakan keamanan dan kebebasan Palestin.

TUN JULIA MOHD TAHIR