Rakyat tarik nafas lega tiada kenaikan kos haji 2026

Foto hiasan

SEREMBAN, 21 Mac – Keputusan Lembaga Tabung Haji mengekalkan kos menunaikan ibadah haji bagi musim 1447 Hijrah bersamaan 2026 masihi pada kadar RM33,300 bagi jemaah muassasah, disambut baik oleh orang ramai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakyat bersyukur dan lega dengan keputusan mengekalkan kos haji, membolehkan perancangan kewangan lebih teratur.
  • Ramai mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Tabung Haji atas keprihatinan ketika kos dunia semakin meningkat.
  • Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan bermula 18 April; persiapan dan harapan keselamatan digarisbawahi.
  • Masyarakat berharap konflik di Asia Barat reda segera supaya ibadah haji dapat dilaksanakan dengan aman dan sempurna.

Tinjauan RTM Negeri Sembilan di Seremban mendapati orang ramai bersyukur dan lega dengan keputusan tersebut.

“Saya berasa amat lega kerana kos haji dikekalkan walaupun situasi di Asia Barat tidak menentu. Sekurang-kurangnya, jemaah haji masih dapat merancang kewangan dengan lebih baik. Insya-Allah, doakan kami semua selamat berangkat, dapat menunaikan ibadah dengan sempurna dan kembali dengan selamat.”, kata Ketua Audit Negeri Sembilan, Naeimah Taufik.

“Saya agak terkejut sebenarnya kerana apabila pengumuman dibuat, kami menjangkakan kos haji akan meningkat. Namun, Alhamdulillah, berita ini amat menggembirakan, khususnya bagi mereka yang telah lama menunggu giliran. Ia sememangnya banyak membantu. Alhamdulillah.”, kata Pegawai Audit Negeri Sembilan, Mardiana Abdullah.

“Terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Tabung Haji kerana masih mengekalkan pakej harga haji muassasah sebanyak RM33,300. Walaupun kita sedar keadaan dunia kini bergolak dan kos meningkat, Tabung Haji tetap berjaya mengekalkan harga seperti sebelumnya”, ujar Pegawai Undang-Undang Abu Bakar Manat.

“Bersyukurlah kerana tiada kenaikan tarif haji tahun ini. Selain itu, saya berharap konflik di Asia Barat tidak berlarutan dan akan pulih seperti sediakala”, kata pesara swasta Anisah Hashim.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan bermula pada 18 April depan.

Sementara itu, di Pahang, keputusan mengekalkan kos haji pada kadar RM33,300 ringgit walaupun berdepan peningkatan harga minyak dunia ketika ini menerima reaksi positif dalam kalangan masyarakat.

Rata-rata mereka melahirkan rasa syukur dan lega kerana kos tersebut tidak dinaikkan, sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Bagi saya, ini mencerminkan sifat keprihatinan kerajaan. Walaupun kita sedar dunia kini berdepan isu kenaikan harga minyak serta konflik di Asia Barat, kerajaan masih berjaya mengekalkan kos tersebut. Ini menunjukkan kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat dalam menangani isu semasa. Saya juga berharap, sekiranya ekonomi terus bertambah baik, kos itu dapat dikurangkan pada masa hadapan”, kata Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Pahang, Alwi Muda.

“Alhamdulillah, ini satu perkembangan yang baik. Ia menunjukkan perancangan ekonomi kerajaan membuahkan hasil. Jika dilihat, nilai ringgit juga mengukuh berbanding dolar AS, dan itu antara faktor yang membolehkan kerajaan mempertahankan kos walaupun harga minyak meningkat”, ujar pesara Mohd Hazim Lebai Yaakob.

“Apabila pengumuman tersebut dibuat, saya agak terkejut kerana menjangkakan kos akan meningkat. Namun, Alhamdulillah, Tabung Haji berjaya mengekalkannya. Berdasarkan tinjauan dalam kumpulan WhatsApp serta rakan-rakan, kebanyakannya berpuas hati. Ini menunjukkan kerajaan masih mampu mempertahankan kos tersebut dan jika dapat dikurangkan lagi, itu tentunya lebih baik.”, kata pesara Badrul Hisyam Mohamad Daud.

Keputusan itu dilihat sebagai satu langkah prihatin dalam memastikan lebih ramai umat Islam berpeluang menunaikan ibadah haji.