BUKIT MERTAJAM, 14 April- Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi kerjasama penuh dengan negeri pembangkang demi kesejahteraan rakyat selaras konsep Malaysia Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia terbukti apabila kerajaan pimpinannya mengutamakan keperluan yang diminta kerajaan negeri yang bersifat mendesak meskipun terdapat perbezaan politik.
Sebagai contoh, kerajaan Persekutuan bersetuju menambah projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Golok, Kelantan, susulan masalah banjir yang sering dialami negeri itu.
"Saya dituduh zalim kerana peruntukan bagi negeri-negeri pembangkang tidak disamakan atau dikurangkan. Itu tidak betul, jadi zalim kepada pemfitnah. Peruntukan bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah pun saya tambah walaupun ada celaru sikit kita tambah.
Kita kena beri keutamaan walaupun kerajaan negeri itu berbeza parti. Ini kenyataannya sebab itu saya nak bezakan antara fakta dan rekaan di dalam politik. Jangan cakap semberono sahaja," kata Anwar dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi, Bukit Mertajam.
(FOTO BERNAMA)