fb fb fb fb fb

Kerajaan luluskan RM5.4 juta untuk masjid baharu di Mengkuang Titi

BUKIT MERTAJAM, 14 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan RM5.4 juta untuk pembinaan masjid baharu Mengkuang Titi, Bukit Mertajam.

Peruntukan itu bagi melengkapkan dana pembangunan masjid itu yang dijangka bakal memulakan pembinaannya pada tahun hadapan.

Anwar ketika ucapannya berkata keseluruhan pembinaan bangunan berkenaan menelan kos kira-kira RM9 juta.

Namun, beliau memuji langkah kariah masjid kawasan tersebut kerana sudah pun mengumpul dana RM2.5 juta daripada masyarakat setempat.

Selebihnya disalurkan kerajaan negeri sebanyak RM1.1 juta.

Usaha untuk membina masjid itu juga merupakan hasil inisiatif masyarakat setempat yang telah berusaha sendiri berjumpa pegawai di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Kementerian Kewangan (MOF).

"Istimewanya orang Mengkuang Titi ini adalah mereka tidak minta semua peruntukan daripada kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan sahaja. Sebaliknya, mereka mulakan dengan inisiatif sendiri berbincang dengan pegawai di ICU dan Kementerian Kewangan.

Mereka ini boleh saya gelar sangat proaktif, dia ambil ikhtiar daripada awal dengan mengutip RM2.5 juta sebagai jaminannya. Ia satu perkara yang hebat, masjid Mengkuang Titi adalah masjid yang hebat, meski tersorok tetapi ada gagahnya," kata Anwar merasmikan Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi, di sini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim.

Beliau berharap masjid yang dibina dengan niat yang betul, bukan semata-mata ingin mempamerkan kebanggaan dan kemegahan bangunan sahaja.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berada di Pulau Pinang untuk
Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi)

Dalam pada itu, penduduk Mengkuang Titi melahirkan rasa gembira dengan peruntukan yang diumumkan itu.

Masjid yang bakal dibina nanti akan memberikan keselesaan kepada masyarakat untuk menjalankan ibadah.

"Perdana Menteri puji usaha orang kampung membuat kutipan sendiri untuk masjid ini. Perkara itu buatkan kami rasa berbangga dan kami nak ucap terima kasih banyak-banyak kepada perdana menteri," kata Ridzuan Din kepada pemberita.

"Perasaan itu memang sangat gembira lah, dapat peruntukan masjid untuk orang kampung. Tahun ini, kira dapat masjid yang besar, macam perdana menteri cakap tadi," kata Rosnani Abu Saad kepada pemberita.

Masjid tersebut bakal dibina di atas tanah berkeluasan 1.29 hektar milik Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), dijangka mampu menampung sejumlah 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

Media Baharu