fb fb fb fb fb

Rakyat Malaysia terlibat nahas jalan raya di Tamil Nadu selamat, sedang terima rawatan - Wisma Putra

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 16 September – Seramai 12 rakyat Malaysia yang terlibat dalam nahas jalan raya di Kodaikanal, Tamil Nadu, India pada petang kelmarin dilaporkan selamat dan sedang menerima rawatan.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, semua penumpang diberikan rawatan segera dengan beberapa individu mengalami kecederaan ringan, manakala empat lagi cedera serius namun dilaporkan stabil.

"Kementerian menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai sedang memantau rapat keadaan susulan insiden berkenaan yang berlaku pada lewat petang 14 September lalu."

"Kemalangan itu berlaku apabila sebuah van pelancong yang membawa kesemua mangsa terbabas di kawasan jalan berbukit."

"Konsulat Jeneral bertindak segera menghubungi pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat terkini serta berhubung dengan mangsa rakyat Malaysia yang terlibat serta membantu memudah cara urusan komunikasi antara mangsa dan ahli keluarga mereka di Malaysia." menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Tambah Wisma Putra, kesemua mangsa kini sedang dirawat di hospital tempatan.

Wisma Putra pada masa sama menasihatkan rakyat Malaysia di India supaya lebih berwaspada sepanjang musim monsun, khususnya di kawasan berbukit yang terdedah kepada risiko jalan licin dan tanah runtuh.

"Rakyat Malaysia turut digalakkan mendaftar dengan pejabat perwakilan Malaysia terdekat serta mengambil insurans perjalanan bagi memudahkan bantuan konsular diberikan sewaktu kecemasan." jelas kenyataan itu.

Pihak kementerian menegaskan akan terus memantau perkembangan insiden tersebut dan mengeluarkan pemakluman dari semasa ke semasa.

Terdahulu, sebuah van pelancong membawa 12 rakyat Malaysia dilaporkan terjatuh ke dalam gaung kira-kira 100 kaki di daerah Vellaiparai, Kodaikanal, Tamil Nadu.

Kejadian berlaku apabila pemandu hilang kawalan ketika melalui jalan berbukit di kawasan Peruthupparai.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN