fb fb fb fb fb

UniMAP perkukuh kerjasama dengan USAKTI

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memperbaharui Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universitas Trisakti (USAKTI), Jakarta

JAKARTA, 16 September - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh jaringan antarabangsa apabila memperbaharui Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universitas Trisakti (USAKTI), di sini.

Majlis pemeteraian berlangsung sempena program International Leadership Mobility 2025 UniMAP, disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Canselor UniMAP.

Turut berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Pro Canselor UniMAP.

Hadir sama, Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli.

MoA berkenaan ditandatangani Prof. Datuk Dr. Zaliman bersama Ketua Yayasan USAKTI, Prof. Ainun Na’im, yang menyaksikan komitmen baharu kedua-dua institusi memperkukuh kerjasama dalam bidang akademik, pertukaran pelajar dan pensyarah, mobiliti antarabangsa serta projek penyelidikan bersama.

Dalam titah baginda, Tuanku Syed Faizuddin menegaskan kepentingan memperluas jaringan antarabangsa demi melahirkan mahasiswa UniMAP yang berwawasan global. Baginda turut mengalu-alukan lebih ramai mahasiswa Indonesia, khususnya dari Trisakti, untuk melanjutkan pengajian di Perlis.

Kerjasama itu dijangka membuka peluang penganjuran seminar, simposium dan forum antarabangsa, sekali gus merangsang idea baharu serta mengukuhkan hubungan akademik Malaysia–Indonesia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI