LONG LAMA, 16 September - Seramai 49 penduduk terjejas banjir daripada 20 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kee Tee, di sini setakat pukul 7.00 malam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Telang Usan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi Lt. (PA) Mirwan Shah Masri dalam satu kenyataan memaklumkan, dua keluarga melibatkan 10 individu telah keluar dari PPS pada pukul 5.40 petang tadi.
Pecahan penduduk yang masih berada di PPS ialah 12 orang dari Pekan Long Lama, 30 dari Kampung Kayan Long Lama, dan tujuh dari Kampung Cina Long Lama.
Sementara itu, seramai 36 petugas terdiri daripada Pejabat Daerah, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Kawalan Pembangunan Sosial (UKPS) terus membantu menguruskan operasi pemindahan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Baram Datuk Anyi Ngau, turut mengadakan lawatan ke PPS berkenaan petang tadi untuk meninjau keadaan penduduk terjejas. selain menyempurnakan penyerahan kit makanan.
Beliau yang diiringi Pegawai Daerah Telang Usan, Ezra Uda turut menyempurnakan penyerahan kit makanan kepada penduduk yang masih berlindung di PPS itu.
JPBD Telang Usan memaklumkan keadaan di PPS kekal terkawal dan selamat, manakala sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.