BUTTERWORTH, 16 September - Kemajuan sesebuah negara tidak boleh hanya diukur melalui aspek teknologi dan ekonomi semata-mata, sebaliknya mesti digerakkan bersama nilai budi pekerti tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu adalah asas kepada kepimpinan Kerajaan MADANI yang berusaha membangunkan negara secara menyeluruh tanpa mengorbankan nilai insaniah.
"Negara MADANI yang kita impikan bukan sekadar membina pertumbuhan ekonomi, digital dan kecerdasan buatan (AI), malah memastikan ia seiring dengan nilai budaya dan budi pekerti. Kita tidak mahu maju seperti negara barat yang hanya menekankan kemajuan material semata-mata.
"Kita mahu kemajuan dalam bidang teknologi, tenaga dan digital, tetapi dalam masa sama mengekalkan budaya, sikap, dan budi pekerti yang luhur," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, di sini.
Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri, Toh Puan Raja Nora Ashikin Raja Abdullah.
Sambutan bermula seawal 8.30 malam itu diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan merangkumi lima segmen utama yang menampilkan identiti serta warisan Melayu, Cina, India, dan Bumiputera Sabah serta Sarawak.
Pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah adalah selaras keputusan Jemaah Menteri pada 24 Jun 2020, yang menetapkan sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir di seluruh negeri.
Majlis turut menyaksikan acara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Negara maju perlu seiring nilai budi pekerti - PM
powered by social2s