fb fb fb fb fb

Lebih 200 penduduk terjejas banjir kilat di Taman Guar Perahu Indah

Keadaan banjir kilat di Taman Guar Perahu Indah

BUKIT MERTAJAM, 16 September - Kediaman kira-kira 240 penduduk di Taman Guar Perahu Indah, Taman Guar Perahu dan Padang Temusu di Penanti sekali lagi dinaiki air dalam kejadian banjir kilat petang tadi.

Banjir dilaporkan berlaku kira-kira pukul 5.15 petang selepas hujan lebat, sekali gus menyebabkan air bercampur selut dan lumpur memasuki ke kawasan perumahan serta menenggelamkan beberapa laluan utama.

Hampir 30 keluarga dilapor terjejas, manakala tiga kenderaan serta pelbagai peralatan rumah rosak akibat banjir yang disifatkan penduduk sebagai kejadian terburuk sejak beberapa tahun lalu.

Seorang penduduk, Mohd Farhan Ahmad Rosdi berkata, kejadian itu merupakan kali ketiga berlaku dan mereka mengharapkan tindakan segera pihak berwajib.

"Selepas masalah ini selesai, penduduk juga berharap ada pampasan bagi kerosakan peralatan rumah yang dialami," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Fauzi Che Leh mahu pihak pemaju cakna dengan kejadian yang berlaku di kawasan taman tersebut.

"Ini merupakan kejadian kali ketiga yang berlaku di kawasan ini dan paling teruk berlaku. Kami mahu pihak pemaju mengambil tindakan dan bertanggungjawab terhadap kejadian ini," katanya.

Setakat ini, kerja pembersihan sedang dijalankan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta badan bukan kerajaan (NGO).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI