KANGAR, 8 November – Program Ziarah dan Santuni Pekebun Kecil anjuran Pejabat RISDA Negeri Perlis dengan kerjasama Penggerak Watan RISDA (PEWARIS) menyantuni dan menziarahi 12 orang pekebun kecil yang uzur di sekitar negeri ini.
Menerusi program itu, sumbangan berupa bakul makanan diserahkan kepada pekebun kecil terpilih sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada golongan tersebut.
Pengarah RISDA Negeri Perlis, Ismail Jaafar dalam kenyataan memaklumkan, program seumpama ini bukan sahaja mendekatkan pihak RISDA dengan komuniti pekebun kecil, malah menjadi platform untuk menyelami dan memahami keadaan sebenar kehidupan mereka.
“Melalui ziarah seperti ini, kita dapat menyalurkan bantuan secara terus kepada mereka yang memerlukan di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak RISDA dan para pekebun kecil.''
'' Inisiatif dilaksanakan ini selaras dengan hasrat RISDA untuk mendekati masyarakat luar bandar serta memastikan kebajikan pekebun kecil sentiasa terbela.'' menurut kenyataan itu.
Malah, program ini bukan sahaja membawa manfaat dalam bentuk bantuan kebajikan, tetapi juga menyemai semangat keprihatinan dan kasih sayang sesama insan.
