SEPANG, 8 Oktober -Rakyat Malaysia diseru agar terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang kini genap dua tahun berdepan situasi genosid di Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, berkata walaupun misi Global Sumud Flotilla (GSF) tidak berjaya menembusi sekatan rejim Zionis, namun kejayaan sebenar adalah apabila dunia kembali memberi perhatian terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Walaupun kita tidak berjaya ‘break the siege’, tetapi kita berjaya ‘break the silence’. Kehadiran anda semua menyambut ketibaan kami di sini membuktikan perjuangan ini belum berakhir,” katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar tidak menghentikan sokongan terhadap perjuangan membebaskan Gaza.
“Jangan biarkan perjuangan kita berakhir hari ini, kerana perjalanan kita masih panjang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim, berkata kejayaan misi GSF adalah hasil kesatuan hati seluruh rakyat Malaysia yang bersatu dalam solidariti untuk Palestin.
“Kita berjuang dengan kesatuan hati. Hari ini kita pulang dengan mesej kuat — gelombang Malaysia telah sampai ke peringkat dunia. Tekadkan hati, kuatkan semangat, perjuangan ini tidak terhenti di sini,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai menghadiri Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam esok (Rabu) sebagai simbol perpaduan dan sokongan berterusan terhadap Palestin.
Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk 23 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel pada 2 Oktober lalu di perairan Laut Mediterranean, sebelum dibebaskan dengan bantuan kerajaan Turkiye dan selamat tiba di tanah air malam tadi (Selasa).