fb fb fb fb fb

Perjuangan Palestin tanggungjawab bersama - Sukarelawan GSF

Sukarelawan GSF, Nur Heliza Helmi/Foto BERNAMA

SEPANG, 8 Oktober - Sukarelawan Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) menyifatkan perjuangan mereka bukan sekadar misi kemanusiaan, tetapi satu tanggungjawab bersama dalam menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus ditindas.

Menurut salah seorang sukarelawan, Haikal Abdullah, penyertaannya dalam misi tersebut merupakan antara usaha terbaik yang mampu dilakukan bagi membela hak rakyat Palestin.

“Kami sudah lakukan sesuatu yang besar dan baik. Teruskan bersama-sama dalam solidariti sehingga Palestin dan Gaza bebas, in shaa Allah. Mohon semua terus berdoa dan bersuara untuk saudara kita di Gaza,” katanya.

Haikal turut menegaskan bahawa perjuangan untuk Palestin adalah perjuangan seluruh masyarakat tanpa mengira usia atau latar belakang.

“Setiap daripada kita ada peranan. Jika mampu memberi sesuatu, berilah. Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia lain,” ujarnya.

Sementara itu, Zulfadhli Khiruddin pula meluahkan rasa syukur dengan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap misi GSF.

“Perasaan saya sangat terharu dengan sambutan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui media.

Dalam pada itu, selebriti dan pempengaruh, Nur Heliza Helmi menzahirkan ucapan terima kasih terhadap rakyat Malaysia atas sokongan tidak berbelah bahagi terhadap misi GSF. Beliau turut mengharapkan agar rakyat Malaysia meneruskan perjuangan dalam membebaskan Palestin.

"Terima kasih kepada rakyat Malaysia, teruskan perjuangan. 'Free Palestine', katanya.

Kesemua sukarelawan berkenaan ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pada Selasa selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Israel dengan bantuan diplomasi kerajaan Malaysia dan negara sahabat.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD