fb fb fb fb fb

Misi GSF bukan ceroboh Israel, tapi bawa bantuan ke Gaza

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan/Foto BERNAMA

SEPANG, 8 Oktober - Kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Zionis bukan kerana memasuki Israel secara haram, sebaliknya kerana pelayaran mereka dipintas dan dikepung di perairan antarabangsa ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas mengenai penahanan sukarelawan berkenaan.

“Mereka tidak pergi ke Israel, mereka ke Gaza, tetapi dikepung tentera rejim Zionis dan dibawa ke Israel. Alhamdulillah, kerajaan Malaysia melalui diplomasi tertinggi berjaya membawa mereka pulang dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyambut ketibaan delegasi sukarelawan Malaysia dari Istanbul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi (Selasa).

Kepulangan mereka disifatkan sebagai kejayaan besar diplomasi Malaysia hasil usaha berterusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan sokongan negara sahabat seperti Turkiye, Mesir dan Jordan.

Suasana di balai ketibaan KLIA penuh emosi apabila 27 sukarelawan, termasuk pasukan pemerhati dan peguam, tiba sekitar 10.08 malam, disambut ahli keluarga serta rakyat Malaysia yang mengibarkan bendera Palestin dan memakai keffiyeh.

Kepulangan itu menandakan berakhirnya perjalanan getir yang bermula selepas flotila bantuan kemanusiaan mereka dipintas tentera Israel di zon merah perairan Laut Mediterranean pada 2 Oktober, sebelum dibawa secara paksa ke Pelabuhan Ashdod, Israel.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD